Tekong muda negara, Muhammad Zarif Marican Ibrahim, tidak mahu mempersiakan peluang beraksi bersama skuad kebangsaan buat julung kali dalam Sukan SEA Filipina, sebaliknya menjanjikan aksi terbaik.

Atlet berusia 18 tahun itu akan membawa pengalaman beraksi dalam dua kejohanan, Terbuka Kunming pada Jun lalu dan Kejohanan Datuk Bandar Hatyai, Ogos lalu sebagai bekalan persiapan ke Filipina bulan depan.

Baginya, kepercayaan diberi ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, yang menyedari bakatnya sejak penglibatan di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG) tahun lalu, akan digunakan sebaik mungkin.

Dia juga menambah bahawa senang dengan penerimaan diberikan pemain lain dalam pembentukan kerjasama sepasukan.

"Pengalaman yang akan saya bawa adalah sewaktu di Kunming, di mana saya berdepan Indonesia dan Thailand. Ia satu pengalaman bagus dan saya akan gunakannya di Filipina," katanya.

Dia merupakan antara lima tekong yang tersenarai selain Hairul Hazizi Haidzir, Said Ezwan Said De, Syahmi Husin serta Ahmad Aizat Nor Azmi.

"Saya akan lakukan yang terbaik. Alhamdulillah, jurulatih memberi kepercayaan kepada saya. Setakat ini, persiapan berjalan lancar dan kami seluruh pasukan mahu melakar kejutan di sana nanti, insya-Allah," tambah Zarif.