Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, masih berahsia dengan kombinasi gandingan regu untuk ke Sukan SEA Filipina bulan depan biarpun senarai 12 pemain sudah dikeluarkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Percaturan untuk temasya dwitahunan itu menyaksikan PSM bakal membawa lima tekong, diiringi empat perejam dan tiga pengumpan.

Malaysia dijangka akan menyertai dua acara, iaitu regu dan regu berpasukan manakala satu lagi acara, gelung bulatan asing buat skuad kebangsaan.

Di sebalik pengumuman dibuat PSM, Talib enggan mendedahkan siapa trio utama negara bagi acara berpasukan, begitu juga percaturan pemain untuk saingan regu di sebalik penyenaraian lima pemain, Hairul Hazizi Haidzir dan Said Ezwan Said De sebagai tekong, Azlan Alias dan Afifuddin Razali menjadi perejam sementara muka lama, Farhan Adam, menjadi satu-satunya pengumpan bagi skuad negara dalam acara ini.

"Kehadiran Said Ezwan dan Hairul merupakan pemain berpengalaman dan berusaha untuk merebut tempat dalam skuad utama dan mereka telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan," kata Talib.

Sebagai penyandang pingat emas acara regu ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia dijangka akan bertemu Thailand yang dikatakan bakal menyertai acara ini, namun masih menunggu majlis undian baru, 28 dan 29 November depan setelah ia ditunda dari tarikh asal 15 Oktober lalu kerana tidak mendapat keizinan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

"Kami menunggu undian Sukan SEA pada 28 November nanti kerana ia melibatkan strategi yang telah kami tetapkan."