Skuad sepak takraw negara mengetepikan masalah kecederaan untuk merangkul pingat perak acara antara regu Sukan SEA Fillipina selepas menundukkan Singapura 2-0 dalam aksi terakhir liga sepusingan hari ini.

Terdahulu, skuad Malaysia, yang diketuai Farhan Adam, di samping Azlan Alias, Hairul Hazizi Haidzir dan Muhammad Afifuddin Mohd Razal, itu menundukkan Filipina dengan keputusan yang sama, namun terpaksa akur dengan keampuhan Thailand semalam.

"Perlawanan agak sukar tetapi nasib tidak menyebelahi kami dalam perlawanan dengan Thailand.

"Apapun, kami sudah mencapai sasaran pingat perak," kata Farhan.

Di sebalik terus dibayangi Thailand sambil kem Malaysia mendakwa keputusan berat sebelah pengadil dalam pertemuan semalam, pelibas negara, Azlan, tetap menganggap ia satu kejayaan manis buat mereka membuktikan kejayaan.

"Saya tidak kisah dengan pandangan orang luar.

"Kami sudah mencapai sasaran dan buat yang terbaik.

"(Malah,) kami sebenarnya tetap buru emas.

"Tetapi setakat ini sahaja rezeki skuad Malaysia.

"Kami (sentiasa berazam) untuk buat yang lebih baik lagi pada masa akan datang," katanya.