Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam, mengakui pingat perak dalam acara regu berpasukan tetap bermakna setelah mereka membalas dendam kekalahan kepada Indonesia dalam saingan Sukan SEA Filipina hari ini.

Hasrat skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau 28 tahun emas acara regu berpasukan di pentas Sukan SEA tidak kesampaian susulan tewas 0-3 kepada Thailand dalam perlawanan awal peringkat round robin.

Bertemu Indonesia dalam aksi terakhir untuk penentuan perak dan gangsa, anak buah Abdul Talib Ahmad itu menjelmakan kebangkitan untuk mengatasi lawan.

Ia hadir menerusi kemenangan regu kedua membabitkan Hairul Hazizi Haidzir, Azlan Alias dan Aidil Aiman serta regu ketiga, Zarif Marican, Amirul Zazwan dan Affidudin Rizal.

Kejayaan 2-1 itu membolehkan skuad kebangsaan menebus kekalahan kepada lawan sama sebelum ini, termasuk sewaktu sekadar meraih gangsa dalam edisi lalu di Kuala Lumpur.

"Tahun ini, yang terbaru, kami tewas di tangan mereka dan menduduki tangga ketiga, jadi kami dapat tebus dengan kemenangan," kata Farhan.

"Alhamdulillah, susunan regu yang kami buat kira menjadi. Pemain Malaysia kurang melakukan kesilapan seperti ketika menentang Thailand, terutama dalam aspek pertahanan," tambah Abdul Talib.