Jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, berpandangan ketiadaan tekong utama Thailand, Siriwat Sakha, menjadi peluang terbaik buat anak buahnya menamatkan kemarau 28 tahun pingat emas regu berpasukan di pentas Sukan SEA Ke-30.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas regu berpasukan adalah dalam Sukan SEA Manila 1991 di bawah bimbingan Haris Abdul Rahman.

Ia temasuk emas antara regu, sekali gus gelaran berganda dan pencapaian terbaik skuad negara dalam sejarah temasya dwitahunan itu.

Abdul Talib percaya kejayaan itu mampu diulangi jika anak buahnya mempunyai semangat untuk menang, apatah lagi Thailand kali ini beraksi tanpa kelibat Siriwat.

"Tekong nombor satu Thailand mengalami kecederaan, saya yakin kami mampu mengatasi mereka jika menampilkan aksi terbaik," katanya.

Skuad negara akan bertemu Thailand selaku musuh ketat untuk perlawanan kedua peringkat liga sepusingan esok selepas mengalahkan tuan rumah, Filipina, 3-0 hari ini.

"Ada ataupun tidak Siriwat, kami harus menampilkan aksi terbaik nanti," kata kapten negara, Farhan Adam.