Ranjau berliku menanti skuad sepak takraw negara untuk melakar emas acara regu buat kali ketiga berturut-turut apabila seteru utama, Thailand, sah beraksi dalam acara itu dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Skuad sepak takraw negara mencetus sensasi apabila menamatkan kemarau 10 tahun memenangi pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan diikuti 2017 di Kuala Lumpur.

Namun, kejayaan itu dipandang sepi oleh sesetengah pihak susulan tiada penyertaan pasukan handalan, Thailand.

Kali ini, Malaysia dan Thailand dijangka berentap apabila kedua-dua negara itu menjadi antara lima negara yang mengambil bahagian dalam acara regu.

Turut memberikan cabaran kepada anak buah Abdul Talib Ahmad itu adalah Vietnam, Filipina dan Singapura dalam saingan yang akan dilangsungkan secara liga satu pusingan.

"Daripada segi mutu permainan, kehadiran pemain senior dalam skuad masih lagi bersaing untuk mendapatkan tempat dalam barisan utama dan persaingan yang dimiliki memastikan menampilkan aksi yang terbaik di Manila nanti," kata Abdul Talib.

Selain kehadiran Thailand, cabaran skuad negara juga tertumpu kepada ketiadaan dua tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, yang digantung.

Kehilangan mereka sememangnya mampu memberi impak besar kepada persembahan skuad negara, namun barisan pemain negara kekal dengan sikap positif.

"Said Ezwan Said De pada saya adalah sandaran utama negara untuk menggalas tugas sebagai tekong negara. Servisnya cukup baik dan banyak membantu pasukan ketika bertahan," kata pemain negara, Hairul Hazizi Haidzir.

Bagi acara berpasukan regu, Thailand mengetuai senarai selain Malaysia, Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Justeru, aksi di Filipina dijangka rancak dengan beberapa kejutan dijangka berlaku menerusi acara regu serta berpasukan regu.

Sepak takraw dijadual berlangsung dari 1 hingga 10 Disember di Aguinaldo St Subic Bay Freeport Zone mempertandingkan empat acara lelaki dan dua wanita.