Sepak takraw: Harapan raih emas lebur

Oleh Staff Writer 7 Disember 2019 120
Sepak takraw: Harapan raih emas lebur
Skuad sepak takraw negara tampak kempunan untuk menamatkan kemarau 28 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan apabila tumpas 0-3 kepada Thailand hari ini.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara itu ialah dalam Sukan SEA 1991 dan hasrat mereka untuk mencipta kejayaan di Manila kali ini kelihatan samar apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand.

Perlawanan kedua peringkat round robin acara regu berpasukan menemukan Malaysia dan Thailand selaku juara bertahan.

Regu pertama, Aizat Nor Azmi (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Afifuddin Razali (apit kanan) tewas kepada regu Thailand, Sittipong Khamchan (tekong), Pattarapong Yupadee (apit kiri) dan Pornchai Koakew (apit kanan) 11-21, 14-21.

Regu kedua mula membariskan Syahmi Husin, Farhan Adam serta Hafizul Hayazi Adnan tetapi melakukan pertukaran membabitkan Syahmi dengan Hairul Hazizi Haidzir manakala Hafizul dengan Azlan Alias.

Berdepan Kritsanapong Nontakote, Assadin Wongyata dan Anuwat Chaichana, regu negara itu memberi tentangan sengit sebelum tewas 17-21, 11-21.

Regu ketiga Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwani dan Khairol Zaman Hamir Akhbar pula berentap dengan Jantarit Kukeaw, Rachan Viphan dan Thawsiak Thongsai sebelum tewas 15-21, 17-21.

Malaysia akan meneruskan saingan berdepan Myanmar petang ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen