Sepak takraw: Farhan, Azlan sandaran utama 

Oleh Azizan Hashim 25 November 2019 7523
Sepak takraw: Farhan, Azlan sandaran utama 
Dua pemain yang menyumbang pingat emas acara sepak takraw dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias, menjadi sandaran negara untuk meraih pingat dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini. 

Dua pemain itu antara 12 pemain yang akan menggalas cabaran negara dalam temasya dwitahunan edisi ke-30 itu.

Turut tersenarai ialah pemain daripada skuad Sukan Asia 2018, Aidil Aiman Azwawi, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Said Ezwan Said De dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar.

Pemain lain ialah Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Muhammad Syahmi Husin, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir yang mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, muka baru ialah tekong Penang Black Panthers, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican.

Begitupun, Farhan dan Azlan tidak akan bergandingan dengan tekong trio emas Sukan Asia, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak, kerana kedua-duanya sedang digantung.

Ketiadaan kedua-dua pemain terbabit, bagaimanapun, tampak tidak menjejaskan semangat skuad negara.

Berdasarkan tinjauan ketika latihan skuad negara di Dewan Batu 4, Tambun, Ipoh, barisan pemain kelihatan berlatih bersungguh-sungguh dan penuh semangat.

Dengan asuhan dan bimbingan daripada barisan jurulatih yang diketuai Abd Talib Ahmad, Ahmad Supian Napiah dan Mohd Rashidi Nordin, skuad negara menjanjikan cabaran sengit kepada setiap pencabar. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen