Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, masih belum menekan butang panik biarpun Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Myanmar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini.

Skuad negara diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan itu, namun dikejutkan dengan percaturan taktikal pasukan kendalian Velizar Popov itu.

Hadi Fayyadh Abdul Razak sekadar memadamkan jaringan pembukaan Soe Moe Kyaw dalam babak pertama tetapi Kim Swee masih tenang dan menghargai satu mata yang diraih daripada perlawanan itu.

"Satu mata itu amat berharga dan kita tahu bahawa kami masih ada tiga lagi perlawanan selepas ini.

"Daripada kehilangan seluruh mata, (lebih baik) kami meraih satu mata yang akan mencerahkan peluang kami untuk ke peringkat seterusnya," katanya.

Barisan pemain negara berasakan padang tiruan di venue itu sedikit-sebanyak menjadi faktor mereka gagal beraksi baik hari ini.

"Bola agak laju dan kami tidak biasa dengan padang (tiruan) ini," kata penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin.

"Sebelum ini, kami sudah berlatih di padang tiruan tetapi padang agak licin dan bola juga laju.

"Ia menjadi halangan buat kami," katanya.