Selepas mengambil kira pencapaian terkini atlet negara dan pihak lawan, sasaran 70 pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina adalah realistik.

Ketua kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata sasaran itu ditetapkan selepas proses penelitian lengkap dengan mengambil kira penyertaan kali pertama 396 atlet dalam temasya itu.

"Betul, sasaran kali ini hanya tambah dua pingat emas berbanding temasya sama di Korat pada 2007 walaupun ada peningkatan daripada segi penyertaan atlet. Namun, kami kena ambil kira bahawa ramai atlet yang akan beraksi buat pertama kali dalam temasya antarabangsa.

"Kami tidak ada rekod pencapaian lepas mereka. Saya mesti akui kalau kami lihat daripada segi peluang, mungkin akan dapat lebih pingat emas tetapi saya tidak berani (meletakkannya) kerana kebanyakan atlet dan sukan baharu akan dipertandingkan di Filipina.

"Kami juga tidak tahu prestasi pihak lawan macam mana," katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa diletakkan ke atas kontinjen negara yang diwakili oleh 773 atlet dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sasaran 70 pingat emas itu dijangka bakal meletakkan kontinjen Malaysia di kedudukan empat negara terbaik daripada 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.

Syed Saddiq juga berkata sukan olahraga, gimrama, memanah dan boling padang dijangka menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara.

Ditanya mengenai status olahraga yang diletakkan sebagai sasaran penyumbang utama emas negara sedangkan prestasi sukan itu kurang memberangsangkan musim ini, Megat Zulkarnain berkata olahraga mempunyai alasan tersendiri untuk dijadikan antara penyumbang pingat.

“Kami telah tengok sendiri pencapaian mereka sebelum tetapkan sasaran dan jadikan mereka sandaran. Kali ini kami ambil pendekatan dengan memanggil pengurus pasukan dan jurulatih untuk membentangkan pencapaian atlet.

"Kami tanya dan minta ulasan daripada setiap seorang atlet. Kami juga kaji pencapaian pihak lawan. Tidak semua apa yang dibentangkan kami setuju. Jadi, keputusan untuk jadikan olahraga sebagai sandaran bukan dibuat tanpa kajian lengkap," katanya.

Megat Zulkarnain, bagaimanapun, berkata walaupun pihaknya meletakkan sandaran ke atas beberapa jenis sukan, namun sukan lain seperti boling tenpin dan skuasy turut dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Sukan SEA memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah tetapi paling mustahak adalah membuat perbandingan dengan Sukan SEA di luar negara sebelum ini dan menyasarkan untuk menampilkan prestasi yang lebih baik berbanding terdahulu," kata Syed Saddiq pula.

"Sasaran yang ditetapkan turut melibatkan atlet-atlet e-sukan yang memburu emas di Manila," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

-- BERNAMA