Mohd Fakhrul Izzat Afandi mencatat sejarah selaku atlet sambo pertama negara meraih pingat perak dalam Sukan SEA kategori bawah 90kg walaupun terpaksa mengeluarkan RM3,000 untuk menyertai temasya itu apabila diletakkan dalam kategori B2.

Dalam saingan yang berlangsung di Pusat Asasi Universiti Angeles, Clark hari ini, Fakhrul turun bertemu wakil Indonesia, Kristian Senie.

Tewas 7-3, namun Fakhrul melakar kejayaan manis apabila muncul atlet Malaysia pertama meraih pingat dalam acara tersebut, malah telah menggunakan perbelanjaan sendiri untuk ke Manila.

"Terima kasih kepada setiap individu yang banyak membantu memberikan sokongan untuk mencipta kejayaan di Manila. Ini merupakan satu kejayaan di luar jangkaan apabila berjaya meraih pingat perak," katanya.

"Saya akan terus berusaha untuk mencipta kejayaan bagi saingan Sukan SEA dua tahun lagi. Saya berharap sukan sambo ini akan terus berkembang di Malaysia."