Bekas perseorangan badminton lelaki negara, Roslin Hashim, meluahkan kegusarannya terhadap keadaan skuad kebangsaan yang mungkin tidak berupaya menghadirkan kilauan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan depan setelah kemarau kejuaraan dalam kejohanan utama sepanjang tahun ini.

Kalendar saingan utama Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) hanya berbaki enam kejohanan lagi sebelum Sukan SEA bermula.

Setakat ini, hanya gandingan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, berupaya menggondol kejuaraan utama tahun ini.

Pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula masih buntu dengan pencapaian terbaik hanya menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang bergelar finalis dalam Kejohanan Seluruh England, Mac lalu.

Roslin gusar memandangkan jika keadaan itu berlarutan, ia akan memberi kesan terhadap persembahan skuad negara dalam Sukan SEA.

"Kita perlu lihat secara lebih telus dan serius kerana seperti yang kita tahu, sasarannya adalah dua emas.

"Tetapi saya melihatnya sebagai satu tugas yang sukar.

"Jika mampu mendapatkan pingat juga sudah dikira bagus," katanya.

Dalam masa sama, Roslin menyarankan agar BAM menimbang semula kedudukan Lee Zii Jia agar pemain itu kembali diletakkan di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek.

Ia selepas pemain perseorangan itu gagal menyinar di bawah seliaan Hendrawan sejak Julai lalu.

"Tahap permainan Lee Zii Jia sudah mula perlahan, tiada peningkatan yang begitu menonjol.

"Bagi saya, Zii Jia seelok-eloknya diletakkan di bawah (seliaan) Datuk Misbun.

"Bukan menidakkan keupayaan atau kelebihan Hendrawan tetapi kita dapat nampak peningkatan Zii Jia di bawah Misbun," tambahnya.