Imej sempurna trio memanah recurve lelaki negara yang dibina sejak 2007 akhirnya musnah dalam Sukan SEA Filipina apabila tewas kepada Indonesia dalam penentuan pingat emas di Clark hari ini.

Masalah tiupan angin dikatakan menjadi punca kegagalan trio negara itu.

Ia juga merupakan kali pertama trio negara gagal membawa pulang pingat emas sejak 12 tahun lalu, sekali gus menamatkan dominasi Malaysia.

Bagi pemanah, Khairul Anuar Mohamad, dia tahu setiap alasan yang diberikan pasti akan mengundang kritikan.

"Saya tidak boleh menyatakan faktor angin menjadi punca kekalahan Malaysia kerana ia akan mengundang kritikan tetapi sesiapa yang berada di sini dapat mengetahui suasana ketika melakukan panahan.

"Anda boleh bertanya sendiri kepada rakan sepasukan saya.

"Ketika Malaysia melakukan panahan, angin bertiup kencang tetapi ketika lawan dari Indonesia (melakukan panahan), tiada angin," katanya.

Paling terkesan ialah Zharif Syahir Zolkepli, yang berasakan dirinya gagal menjadi penyambung legasi itu.

Dia yang melakukan penampilan pertama dalam edisi ini, gagal melakukan panahan sempurna.

"Saya agak kecewa dengan prestasi di Manila.

"Ia merupakan kali pertama saya beraksi dalam Sukan SEA," katanya.

Skuad negara dan Indonesia terikat 4-4 untuk penentuan itu diheret ke 'shoot off'.

Panahan pertama Khairul Anuar tersasar untuk Malaysia tewas 27-29 dalam penentuan itu.