Perenang negara, Chan Jie, akan berdepan 'tornado' Singapura, Joseph Schooling, dalam misinya untuk mencipta kejutan terbesar di Pusat Akuatik New Clark City, Filipina, hujung bulan ini walaupun ini merupakan penampilan keduanya dalam Sukan SEA.

Sukan SEA Filipina menjadi permulaan penting buat karier atlet berasal dari Kuala Lumpur itu apabila meraih pingat perak dalam acara 4x100m gaya bebas dalam kempen dua tahun lalu.

Tetapi kali ini, atlet berusia 24 tahun itu berhasrat untuk memburu pingat emas dalam acara individu walaupun Schooling selaku juara Sukan Olimpik Rio 2016 menjadi penghalangnya dalam 100m kuak kupu-kupu.

"Kejayaan Joseph Schooling selaku atlet dari ASEAN dalam Sukan Olimpik menjadi dorongan kepada saya bahawa tiada apa yang mustahil.

"Jadi, tidak mustahil untuk saya mengalahkannya dan saya juga mahu tunjukkan peningkatan," katanya.

Chan Jie akan menyertai empat acara di Filipina.

Selain beraksi dalam 100m dan 50m kuak kupu-kupu yang merupakan acara kegemarannya, dia juga akan menyertai 4x100m gaya bebas dan rampaian.

Realitinya, dia tidak disandarkan harapan besar berbanding jaguh utama seperti Welson Sim dan Phee Jinq En yang berpangkalan di luar negara.

Namun, Chan Jie mahu membalas pengorbanan keluarganya.

"Saya akan berlatih pada jam 7 malam, jadi bapa saya perlu bergegas pulang dari kerja untuk kami sekeluarga makan malam lebih awal sebelum dia menghantar saya ke sesi latihan.

"Dia akan menunggu sehingga sesi latihan saya tamat pada jam 9.30 malam."