Ketua jurulatih skuad renang negara, Christopher Martin, meletakkan sasaran untuk mempertahankan tiga pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur di Filipina nanti.

Dia meletakkan kepercayaan kepada anak buahnya meskipun bakal melalui cabaran hanya memiliki tempoh rehat singkat selepas tiba di Clark, 1 Disember ini.

Tambahnya, skuad renang tidak mempunyai venue latihan di sana untuk melakukan persiapan terakhir sebelum acara bermula 4 Disember ini.

"Skuad renang negara yang bakal beraksi di Manila jauh lebih muda dan kurang berpengalaman berbanding sebelum ini.

"Saya berasakan latihan yang dijalani perenang negara mampu menghasilkan keputusan positif seperti yang dikatakan oleh salah seorang jurulatih terkenal -- sukar untuk melakukan jangkaan, sebab itu adanya pertandingan," kata Martin.

Sementara itu, skuad renang negara terpaksa akur apabila kehilangan khidmat Tern Jian Han yang mengalami kecederaan dan menggantikannya dengan perenang muda berusia 17 tahun, Steve Khiew.

Bagaimanapun, Martin enggan mengulas lanjut kecederaan yang dialami atlet itu kerana menyifatkan perkara itu terlalu peribadi.

"Masalah kesihatan yang dialami oleh Jian Han tidak boleh saya dedahkan, mungkin anda boleh bertanyakan kepadanya sendiri, namun ia bergantung kepada atlet itu sama ada mahu mendedahkannya ataupun tidak."