Renang: Jinq En hampir kibar bendera putih

Oleh Staff Writer 9 Disember 2019 1391
Renang: Jinq En hampir kibar bendera putih
"Saya hampir putus asa."

Itu luahan Phee Jinq En yang menangguhkan peperiksaan demi mengharumkan nama negara di pentas Sukan SEA Filipina.

Pengorbanannya berbaloi apabila atlet berusia 22 tahun itu berjaya menyumbang pingat emas kedua buat skuad renang negara melalui acara 100 meter kuak dada hari ini. 

Jinq En muncul sebagai perenang terpantas dengan catatan 1 minit 08.50 saat sebelum meraih hatrik emas dalam acara tersebut sambil melakar rekod baru kebangsaan.

Lebih manis apabila catatan itu turut memadam rekod kejohanan miliknya, 1: 09.00s yang dilakukan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Sukar untuk menjelaskan kemenangan ini. Kali terakhir saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan milik saya ialah ketika melangkah ke Sukan Olimpik Rio (2016).

"Sejak itu, saya telah mencuba dalam banyak kejohanan dan hampir berputus asa dan mahu meninggalkan sukan ini. Kejayaan ini sungguh luar biasa dan saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya."

Kredit foto: TeamMalaysia

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen