Perenang negara, Phee Jinq En, mencipta sensasi apabila mempertahankan pingat emas saingan 100 meter kuak dada wanita buat kali kedua berturut-turut dalam aksi final Sukan SEA Filipina di Pusat Akuatik New Clark City sebentar tadi.

Perenang berusia 22 tahun itu mencatat masa 1 minit 8.50 saat untuk mencipta rekod baru kejohanan, sekali gus memastikan emas terus berada dalam dakapan selepas melakukannya dalam dua edisi lalu, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Jaguh Singapura, Christie May Chue, terpaksa berpuas hati dengan perak hasil catatan 1:09.06s sambil perenang Thailand yang menduduki tempat pertama saringan 7, Kijkanakorn Nisha, meraih gangsa setelah mencatat 1:10.70s.

Jinq En turut mengutip emas dalam saingan 50m kuak dada, Jumaat lalu.

"Sukar untuk menjelaskan kemenangan ini. Kali terakhir saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan milik saya ialah ketika melangkah ke Sukan Olimpik Rio.

"Sejak itu, saya telah mencuba dalam banyak kejohanan dan hampir berputus asa dan mahu meninggalkan sukan ini. Kejayaan ini sungguh luar biasa dan saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya."