Perenang muda, Khiew Hoe Yean, mahu menjadikan jaguh kuak lentang negara, Tern Jian Han, sebagai inspirasi dan motivasi untuk menghadapi Sukan SEA sulungnya.

Hoe Yean menggalas tugas berat untuk berjuang dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini apabila hanya dimaklumkan beberapa minggu lalu bahawa dia bakal menggantikan Jian Han.

Atlet berusia 17 tahun itu akan menggantikan Jian Han yang tidak dapat membuat penampilan di Filipina ekoran dibelenggu masalah kesihatan.

"Saya sedih tidak dapat berenang dengannya.

"Saya perlukan atlet sepertinya untuk menyuntik motivasi kepada saya.

"Apapun, saya akan cuba buat yang terbaik dalam temasya kali ini," katanya.

Ia merupakan cabaran buatnya apabila bukan sahaja menjadi taruhan dalam kuartet 4x100 meter rampaian, malah bakal beraksi dalam enam acara lain.

Dalam penampilan pertamanya kali ini, Hoe Yean menjelaskan bahawa dia tidak meletakkan sebarang sasaran, namun pendedahan dan pengalaman menjadi kepentingan buatnya.

"Ini merupakan penyertaan Sukan SEA pertama saya.

"Kalau dapat memenangi medal, saya pasti gembira."