Renang: Hasrat Welson musnah

Oleh Penulis Jemputan 7 Disember 2019 1465
Renang: Hasrat Welson musnah
Hasrat perenang negara, Welson Sim, untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA Filipina tidak kesampaian apabila sekadar meraih perak dalam acara 200 meter gaya bebas di Pusat Akuatik New Clark City hari ini.

Harapan terakhir skuad lelaki itu gagal mempertahankan pingat emas yang diraihnya di Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 1 minit 48.52 saat.

Perenang muda Singapura, Darren Chua, muncul perenang terpantas dengan 1:48.26s manakala perenang Vietnam, Hoang Quy Phuoc, memenangi gangsa.

"Saya tidak fikir ada kesilapan, cuma saya terlalu tertekan.

"Saya tahu saya mempunyai peluang cerah untuk menang, cuma terlalu banyak (orang) yang bising di luar dan mengharapkan sesuatu.

"Saya tahu catatan masa mereka, jadi ia agak mengganggu dan saya tidak dapat beraksi baik.

"Sebelum perlumbaan, saya terlalu banyak berfikir dan keadaan air juga tidak memihak saya," katanya.

Biarpun masih berbaki satu acara, Welson menganggap peluangnya dalam acara 100 meter gaya bebas amat tipis.

"Saya masih ada satu acara tetapi tidak mungkin menang.

"Ia bukan acara utama saya dan bukan sasaran pingat," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen