Renang: Gangsa 200m jadi pemangkin Jinq En

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2019 179
Renang: Gangsa 200m jadi pemangkin Jinq En
Perenang negara, Phee Jinq En, mahu menjadikan pingat gangsa pertamanya dalam saingan Sukan SEA Ke-30 menerusi acara 200 meter kuak dada hari ini sebagai pembakar semangat untuk memburu kejayaan dalam baki dua acara yang disertainya.

Pada awalnya, Jinq En mengakui tidak menyasarkan sebarang pingat dalam acara tersebut memandangkan dia pernah gagal menempah slot ke aksi final Sukan SEA di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Atlet berusia 22 tahun yang mencipta sejarah peribadinya itu meraih tempat ketiga dengan catatan masa 2 minit 32.38 saat. 

Pingat emas dimenangi oleh wakil Singapura, Chue Christy May, yang mencatat 2:28.71s, diikuti Pawapotako Phiangkhwan dari Thailand yang melakukan catatan 2:31.47s di tempat kedua. 

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini. Saya tidak kisah jika berjaya meraih pingat ataupun sebaliknya tetapi saya gembira dengan pingat gangsa," katanya.

Di samping itu, Jinq En, mahu memberi tumpuan kepada acara kegemarannya, 100m kuak dada, sekali gus mempertahankan pingat emas yang diraih dalam dua edisi berturut-turut. 

"Saya tidak sabar untuk menghadapi perlumbaan hari ini (50m kuak dada) dan saya akan cuba yang terbaik."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen