Jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, menjanjikan kilauan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina bermula minggu depan meskipun ia mungkin penampilan terakhirnya dalam temasya dwitahunan itu.

Rayzam Shah berasakan temasya itu merupakan pentas untuk memberikan atlet muda pendedahan, namun dia mahu menjanjikan sesuatu sebelum mengundurkan diri.

Dalam usia yang sudah mencecah 31 tahun, dia masih mampu menyinar selaku juara dalam Kejohanan Prasukan SEA di venue sebenar bulan lalu selain mencatatkan 13.67 saat ketika meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Terbuka Singapura, Mac lalu.

Pelari kelahiran Keningau itu berharap bakat muda negara dapat diketengahkan dalam acara 110 meter berpagar selepas menyaksikan beberapa kejutan dalam Kejohanan Innotex baru baru ini.

"Saya belum terfikir untuk bersara.

"Saya rasa masih boleh berlari dengan kuat.

"Saya berjanji akan mendapatkan pingat emas di Manila.

"Mungkin belum sampai masanya untuk saya bersara," katanya.

Apa yang menjadi kegusarannya ketika ini adalah persediaan daripada aspek mental selepas mengalami patah tangan kanan dalam Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Mac lalu.

"Apabila masuk ke balapan, saya takut benda (kecederaan) itu berlaku lagi.

"Saya perlu jaga perkara itu.

"Saya perlu lebih fokus dan berjaga-jaga," tambahnya.