Berbaki kurang dua bulan sebelum Sukan SEA Filipina bermula, skuad ragbi tujuh sepasukan negara menghadapi situasi sukar apabila terpaksa melupakan khidmat ketua jurulatih, Saizul Hafifi Mohd Nor, buat sementara ekoran kecederaan lutut yang dialami.

Bagaimanapun, latihan tetap berlangsung seperti biasa di bawah kendalian penolong ketua jurulatih, Mohamad Nazeer Nesharah.

Kapten kebangsaan, Nasharuddin Ismail, tidak menganggap perkara tersebut sebagai kekurangan persiapan pasukan menjelang dua kejohanan penting kelayakan Olimpik di Incheon, Korea Selatan, bulan depan sebelum menghadapi saingan di Filipina.

Skuad negara dalam perancangan mengadakan perlawanan persahabatan dan Sri Lanka menjadi pilihan bagi menguji prestasi mereka bulan ini.

"Saya rasa tiada kesan. Mungkin sedikit terasa apabila latihan tidak bersama ketua jurulatih tetapi pembantunya masih ada. Pembawaannya mungkin berbeza tetapi saya rasa pemain boleh menyesuaikan diri," kata Nasharuddin.

Sementara itu, kapten itu turut menyeru pihak tertentu menilai semula jumlah dana yang diperuntukkan bagi sukan ragbi dalam pembentangan bajet 2020 selepas kebanyakan pasukan ragbi negara mempamer aksi memberangsangkan sepanjang tahun ini.

"Ia perlu diperbanyakkan lagi. Sukan ini sedang meningkat dan membangun di Malaysia. Wang yang banyak diperlukan bagi meningkatkan pembangunan dan sebagainya. Begitu juga dengan stadium, ia perlu ada."