Ragbi 7s: Zulkiflee lega kembali bersama skuad negara

Oleh Staff Writer 6 Disember 2019 55
Ragbi 7s: Zulkiflee lega kembali bersama skuad negara
Pemain ragbi 7s negara, Zulkiflee Azmi, menarik nafas lega apabila diberikan kepercayaan oleh jurulatih, Saizul Hafifi Mohd Nor,  pada saat-saat akhir setelah impian untuk menyarung jersi negara sebelum ini tampak samar.

Pada awalnya, harapan untuk melihat Zulkiflee menyarung jersi negara dalam Sukan SEA kali ini tampak tidak kesampaian kerana terikat dengan komitmen bersama Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Bagaimanapun, dia akhirnya mendapat pelepasan untuk membarisi senarai 12 pemain untuk mengibarkan cabaran di Filipina pada saat-saat akhir.

Biarpun hanya sempat berlatih selama dua minggu bersama skuad negara, keserasian tidak akan menjadi isu memandangkan Zulkiflee sudah mengenali kesemua pemain dalam pasukannya.

"Saya sangat bersyukur kerana masih lagi diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk kembali bersama pasukan untuk bersaing dalam Sukan SEA. Kami hadir ke Manila dengan sasaran untuk mempertahankan pingat emas dua tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, Zulkiflee tidak akan menyarung lilitan kapten memandangkan jurulatih, Saizul, telah melantik Mohamad Nasharuddin Ismail untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zulkifli selama sembilan bulan.

Skuad negara tiba ke Manila semalam dan akan bergerak terus ke Clark dalam misi mereka mempertahankan emas yang dimenangi mereka di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Tidak dipilih sebagai kapten tidak mengecewakan saya, tiba di Manila dan membantu pasukan berusaha meraih emas, itu adalah sasaran utama."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen