Penolong kapten skuad ragbi 7s negara, Anwarul Hafiz Ahmad, menganggap rombakan pasukan bukan penghalang buat mereka mempertahankan kejuaraan Sukan SEA Filipina, sebaliknya kelebihan pemain naturalisasi seteru menjadi kebimbangan.

Skuad ragbi 7s lelaki negara bakal turun dengan penampilan tujuh muka baru yang akan dipertaruhkan di Filipina bulan depan.

Namun, perkara itu tidak menjadi tekanan buat mereka yang telah menjalani beberapa aksi persahabatan dan latihan hampir setahun, cukup untuk membina keserasian.

Anwarul juga menjadikan kejayaan skuad Bunga Raya yang berjaya muncul juara Kejohanan Ragbi Trofi Asia 2019 di Jakarta, Ogos lalu sebagai penyuntik semangat dan keyakinan di Filipina nanti.

"Tiga pasukan mampu menghadirkan tentangan yang sengit, antaranya Filipina kerana mereka dijangka diperkuatkan beberapa pemain naturalisasi yang bersaing dalam liga profesional," kata Anwarul.

Sementara itu, Joseph Gordon yang baru menyertai skuad kebangsaan tahun ini turut bersedia menggalas tanggungjawab dan misi penting negara untuk mempertahankan pingat emas.

"Tekanan itu sentiasa ada kerana saya baru sahaja menyertai pasukan. Rakan sepasukan yang lain banyak membantu untuk menyesuaikan diri. Sebagai juara bertahan, kami perlu berusaha lebih untuk mempertahankan gelaran," katanya.