Ragbi 7s: Nik Ismade yakin skuad negara ke final

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2019 59
Ragbi 7s: Nik Ismade yakin skuad negara ke final
Ketua jurulatih skuad ragbi 7s wanita negara, Nik Safuan Ismade Nik Man, menarik nafas lega apabila undian peringkat kumpulan Sukan SEA Filipina bulan depan berpihak kepada mereka, sekali gus mencerahkan peluang mencapai pentas final.

Impian skuad ragbi wanita untuk mencapai pentas final Sukan SEA seperti dalam genggaman apabila diundi bersama Singapura dan Indonesia.

Undian tersebut memberi bayangan jika skuad negara menjuarai aksi kumpulan, mereka mempunyai peluang kemenangan yang lagi tinggi dalam aksi separuh akhir.

"Kami berada dalam kumpulan bersama Indonesia dan Singapura. Kami perlu mengatasi dua pasukan ini untuk bertemu Filipina dalam separuh akhir, sekali gus berjaya melangkah ke final," kata Nik Safuan.

Jurulatih itu turut berharap penolong kapten, Maslina Ahmad Ismail, sempat pulih menjelang Sukan SEA akhir bulan depan.

"Dia masih lagi dalam proses rehabilitasi, jadi apa yang kami harapkan adalah keputusan daripada doktor bagi memberikan kebenaran kepadanya untuk kembali bersama skuad kebangsaan."

Edisi dua tahun lalu menyaksikan skuad ragbi wanita membuat kejutan dengan meraih pingat gangsa pertama mereka dalam temasya dwitahunan itu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen