Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, tidak termakan dengan permainan psikologi pasukan tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, biarpun venue pertandingan di Kompleks Starmall EDSA akan memberikan kelebihan buat pemain dari negara itu.

"Peluang itu ada tetapi saya tidak mahu memandang rendah negara lain sebab bola itu bulat.

"Jadi, seboleh-bolehnya saya mengharapkan persembahan terbaik dan tidak mahu memikirkan perkara lain," katanya setibanya di Lapangan Terbang Ninoy Aquino.

Skuad boling tenpin negara tiba di Manila semalam dengan membawa misi meraih empat pingat emas daripada sembilan acara yang dipertandingkan.

"Saya tahu lorong di sini merupakan lorong yang sudah lama dan ia akan menjadi sukar," tambahnya.