Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong, mendedahkan bahawa presiden persatuan itu, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, menjadi dalang kecelaruan dalaman dengan mengugut untuk tidak menghantar atlet ke Sukan SEA Filipina, November depan selepas gagal meyakinkan panel pemilihan untuk menjadi atlet perahu naga ke temasya itu.

Michael tampil untuk mendedahkan bahawa presiden itu pernah menyuarakan hasratnya untuk menjadi sebahagian daripada skuad perahu naga, namun ditolak oleh panel pemilihan dalam mesyuarat jawatankuasa di Wisma MOM bulan lalu.

Ia menepis dakwaan bahawa peletakan jawatan Setiausaha Agung MASCA, Mohd Sahib Rahmat Azali, menjadi punca persatuan itu enggan menghantar atlet ke Filipina.

"Isu ini timbul pada saat atlet sedang bersemangat untuk melawan (bertanding).

"Dan kami menjangkakan kedudukan podium dalam Sukan SEA.

"Ini antara janji yang saya sendiri berikan dulu.

"Jika ada kemelut dalaman, saya haraplah kepada presiden, kepada pihak-pihak berkenaan, jangan menjadikan atlet mangsa.

"Mereka membawa nama Malaysia.

"Jangan buat berdasarkan agenda dan kepentingan sendiri," katanya.

Michael kini dalam perangkaan untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar atlet dengan menggunakan tiket badan induk itu seperti sukan karate dan petanque.

Atlet dan pegawai juga sudah bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk ke Filipina.

"Untuk Datuk Seri (Megat Shahriman) nak masuk sebagai atlet, saya rasa tidak wajarlah.

"Lebih baik dia pergi sebagai presiden untuk beri semangat dan segala-galanya.

"Bukan tidak bagi dia jadi atlet tetapi buat setakat ini, masih belum mencapai (tahap itu)," kata atlet perahu naga negara, Asirullah Kamar.