Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, yakin kemenangan skuad polo negara di pentas final hari ini akan menjadi penyuntik semangat bagi kontinjen negara untuk merangkul pingat emas sepanjang Sukan SEA Filipina.

Skuad negara hampir pasti menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen Malaysia dalam temasya dwitahunan itu selepas menewaskan Brunei 8-5.5 dalam aksi ketiga pusingan awal di Padang Polo Inogo Zobel, Manila, kelmarin.

Norza yakin kemenangan skuad polo dalam final mampu menyemarakkan semangat kontinjen negara untuk mencapai sasaran 70 pingat emas walaupun beberapa kondisi dalam Sukan SEA tidak memihak kepada atlet negara.

"Saya amat berharap kejayaan skuad polo mempertahankan pingat emas akan mencetuskan semangat untuk atlet-atlet lain.

"Dalam apa jua keadaan yang dihadapi, saya rasa emas itu akan membawa satu kegembiraan," katanya.

Bagaimanpun, Norza tidak menafikan kekuatan pasukan Filipina apabila mereka mengalahkan Malaysia 8.5 - 5 dalam pusingan awal.

"Pasukan tuan rumah agak kuat tetapi saya percaya barisan pemain berpengalaman negara mampu mempertahankan emas yang diraih di Kuala Lumpur," tambahnya.