Polo: Malaysia bermula langkah kanan 

Oleh Bernama 25 November 2019 599
Polo: Malaysia bermula langkah kanan 
Skuad polo negara membuka kempen dengan langkah kanan setelah mengatasi Indonesia dengan keputusan 1 berbalas 7.5 dalam perlawanan pembukaan Sukan SEA Ke-30 di Padang Polo Inigo Zobel, Manila, Filipina, semalam.

Skuad negara, yang merupakan juara bertahan, bermula dengan agak perlahan apabila ketinggalan 2 berbalas 5.5 dalam chukka pertama sebelum bangkit melakar kemenangan dalam chukka kedua menerusi gandingan mantap Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tg Sulaiman dan Amran Selamat.

Pengurus skuad polo negara, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim, yang dihubungi Bernama gembira dengan kemenangan tersebut, namun menjangkakan cabaran sebenar adalah menentang pasukan tuan rumah, Filipina, di venue yang sama esok.

Filipina dan Brunei membawa kuda-kuda milik mereka sendiri berbanding skuad negara yang menggunakan kuda yang dipinjamkan.

Mohamad Zekri yang juga naib presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) bagaimanapun optimis pengalaman luas yang dimiliki Tengku Ahmad Shazril Ezzani dan Amran serta rakan sepasukan yang lain dapat membantu skuad negara meraih kemenangan kedua menentang Filipina.

Terdahulu, Brunei menewaskan Filipina dengan keputusan 8.5 berbalas 8 dalam satu lagi aksi di venue yang sama.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen