Chef-de-Mission (CDM) Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menjangkakan skuad polo negara akan menjadi penyumbang pingat emas pertama dalam temasya itu menjelang upacara pembukaan malam esok.

Skuad negara mengesahkan tempat dalam final selepas menundukkan Brunei 8 berbalas 5.5 semalam.

Bagi Megat Zulkarnain, beliau optimis pasukan itu mampu meraih pingat emas pertama negara, sekali gus mempertahankan reputasi dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Saya mendoakan agar pasukan polo dapat mempertahankan pingat emas.

"Saya tahu (skuad) luncur ais juga ada kemampuan tetapi saya sudah memaklumkan kepada mereka agar tidak terlalu tertekan.

"Kami tidak mahu tekanan dan saya percaya mereka boleh," katanya ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang di perkampungan sukan di Clark hari ini.

"Saya amat yakin dengan pasukan polo kerana sebelum ini, mereka pernah mendapat pingat emas.

"Saya harap pasukan polo akan mendapatkan pingat emas untuk meningkatkan semangat kami," tambah atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji, pula.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkongsi rasa sedihnya kerana tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen anak sulungnya demi tugasan bersama negara.

"Saya dimaklumkan oleh pejabat presiden universiti bahawa dia mendapat anugerah pelajar terbaik.

"Saya fikir semua anak pasti mahu bapanya ada bersama-sama.

"Saya sudah mencuba untuk mencari penerbangan yang sesuai tetapi nampaknya tidak dapat.

"Tidak mengapalah, ini adalah pengorbanan untuk negara dan doa saya sentiasa bersamanya," katanya lagi.