MALAYSIA 8 BRUNEI 5 ½

Skuad polo negara hampir pasti menghadiahkan pingat pertama untuk kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Ke-30 setelah menewaskan Brunei menerusi keputusan 8 berbalas 5 ½ dalam aksi ketiga pusingan awal di Padang Polo Inogo Zobel, Calatagan, Batangas, sebentar tadi.


Kemenangan kedua berkenaan menyaksikan Malaysia muncul naib juara dan mereka bakal berentap dengan juara pusingan awal, Filipina, dalam aksi penentuan pingat emas Ahad ini.

Pengurus skuad polo negara, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim, meluahkan kegembiraan serta bersyukur di atas kemenangan hari ini sambil mendedahkan pasukan Brunei memberikan saingan hebat kepada skuad polo negara bermula daripada awal perlawanan, namun optimis skuad negara mampu bangkit untuk menewaskan Filipina di pentas final nanti.

"Yang Mulia Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Sulaiman sekali lagi mempamerkan persembahan yang menakjubkan, dengan gandingan Amran Selamat, serta pemain berbakat besar, Abdul Rashid Hasnan, yang berjaya membawa pasukan negara ke peringkat akhir," jelas Mohamad Zekri.

Beliau mendedahkan skuad negara menggunakan khidmat pemain gantian, Mohamed Shariezal Baserie, setelah pemain utama negara, Syed Ahmad Saipulrudin Syed Mohd, mengalami kecederaan lengan semasa Malaysia tewas dengan keputusan 8 1/2 berbalas lima kepada Filipina dalam aksi kedua, Selasa lalu.

Terdahulu, Filipina merekodkan kemenangan kedua berturut-turut setelah menang tipis 6 berbalas 4 1/2, ke atas Indonesia dalam satu lagi aksi pusingan awal di venue yang sama.

Brunei yang menduduki tangga ketiga selepas berakhirnya pusingan awal, dijadualkan menentang Indonesia dalam aksi penentuan pingat gangsa, yang turut berlangsung Ahad ini.

Skuad negara sebelum ini mengatasi Indonesia 11 berbalas 7 1/2 dalam aksi pembukaan Ahad lalu sebelum tewas kepada Filipina selang dua hari kemudian.

Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara bertahan sukan polo dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

-- BERNAMA