Sorakan penyokong tuan rumah berjaya menutup peluang skuad polo air negara mencatat kemenangan pertama dalam saingan Sukan SEA Filipina 2019 selepas tewas 14-11.

Biarpun aksi terakhir itu tidak menjamin pingat kepada mereka, skuad negara berjaya membuktikan peningkatan prestasi berbanding tiga saingan awal.

Peluang skuad kendalian Voon Yong Hui itu untuk mempertahankan pingat gangsa tertutup selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan, sekali gus berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Dalam saingan di Filipina, Malaysia terlebih dahulu tewas kepada Thailand 19-5 sebelum ditundukkan oleh Singapura 17-5 dan diikuti Indonesia 14-7.

"Skuad negara bermain dengan lebih baik berbanding sebelum ini. Mereka mula mendapatkan tahap keyakinan dan aksi yang dipamerkan boleh dibanggakan," kata Yong Hui.

Sementara itu, Toh Yi Xiang yang meledak lima gol dalam aksi menentang Filipina, mengakui semangat tuan rumah menjadi penghalang untuk mereka meraih kemenangan sekurang-kurangnya dalam satu perlawanan.

"Saya berasakan kami boleh menang dalam perlawanan ini, namun kelebihan skuad tuan rumah meleburkan kemenangan Malaysia," katanya.