Ping pong: SPM, Sukan SEA sama penting -- Karen

Oleh Bernama 24 Oktober 2019 74
Ping pong: SPM, Sukan SEA sama penting -- Karen
"Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penting, Sukan SEA Filipina juga penting." 

Itu kenyataan pemain muda ping pong negara, Karen Lyne Dick, sewaktu ditanya mengenai keutamaannya tatkala saingan Sukan SEA Filipina berbaki kurang dari sebulan lagi.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu yang bakal menduduki peperiksaan SPM bulan depan, terpaksa berkorban dalam membahagikan masa di antara pelajaran dan latihan. 

"Memang susah untuk fokus pelajaran dan dalam masa sama untuk fokus latihan bagi Sukan SEA. Saya tidak mahu ketinggalan salah satu daripadanya. Saya mahu cemerlang dalam kedua-dua bidang," katanya ketika ditemui Bernama selepas sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Karen akan menduduki kertas peperiksaan terakhir bagi subjek Sains, Ahad ini sebelum bersama-sama skuad ping pong negara berlepas ke Filipina pada 4 Disember depan. 

Atlet dari Sarawak itu akan bergandingan dengan Ho Ying dalam penyertaan pertamanya dalam temasya sukan dwitahunan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.  

Menceritakan rutin hariannya, Karen berkata dia akan memulakan latihan pada sebelah petang, namun jika terpaksa menghadiri kelas tambahan selepas sesi persekolahan, latihan akan dilakukan pada waktu malam selama dua jam.

"Saya akan fokus terhadap satu perkara dahulu. Jika waktu belajar, saya hanya akan fikir mengenai pelajaran dan jika waktu latihan, saya hanya fokus kepada latihan. Jangan terlalu banyak berfikir.

"Saya tidak campur adukkan dua perkara ini. Yang penting mental kena kuat. Itu kunci utama untuk berjaya dalam bidang yang diceburi," kata atlet sedang meningkat naik itu.

Sebelum ini, gandingan Ho Ying-Karen mencipta kejutan dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia apabila meraih pingat gangsa dalam acara beregu wanita. 

Pencapaian merangkul pingat itu merupakan kejayaan pertama buat beregu wanita negara dalam Sukan Komanwel selepas perak berpasukan wanita di Glasgow pada 2014 dan gangsa dalam acara sama bagi edisi 2010 di New Delhi, India.

Sebelum ini, skuad ping pong negara terpalit dengan isu pengguguran gandingan harapan pingat, Ho Ying dan Karen, kerana kedua-dua mereka memilih untuk keluar daripada program pembangunan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

Namun, mereka kembali diserap ke dalam senarai kontinjen negara apabila akur dengan syarat diletakkan TTAM.

Sementara itu, Ho Ying berkata selepas isu tersebut selesai, dia hanya fokus terhadap latihannya bersama Karen dan tidak memikirkan perkara lalu.

"Saya biarkan ia berlalu dan hanya lakukan apa yang perlu saya buat. Maknanya, saya hanya tumpukan kepada latihan beregu dengan Karen tetapi kerana pasangan saya akan mengambil SPM tidak lama lagi, jadi ia merupakan tempoh sukar buat kami melakukan persiapan ke Sukan SEA. 

"Bila dia tiada, saya hanya tumpukan kepada latihan saya sendiri untuk meningkatkan kemahiran tetapi bila dia datang latihan, saya akan memberikan masa untuk kami berdua bagi memastikan mampu beraksi dengan baik di Filipina," kata Ho Ying.

Untuk rekod, dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad ping pong negara meraih dua pingat gangsa melalui acara berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen