Malang tidak berbau buat pemain ping pong muda negara, Karen Lyne Dick, apabila mengalami kecederaan patah jari tangan kanan tatkala Sukan SEA bakal bermula kurang dari seminggu lagi.

Kecederaan itu merencatkan persiapan akhir Karen dan gandingannya, Ho Ying, yang akan turun ke Filipina mewakili negara bagi acara beregu wanita.

Namun, dia lega kecederaan tersebut menimpa jari telunjuk kanan memandangkan tangan kiri merupakan penggunaan dominannya.

Buat masa ini, persediaan mental menjadi agenda utama buat pemain berusia 17 tahun itu ekoran pembedahan hanya boleh dilakukan selepas saingan Sukan SEA jika keadaan tidak beransur pulih.

"Saya cuba untuk biasakan diri sewaktu latihan kerana ia mengganggu. Mental saya perlu kuat kerana fokus diperlukan. Saya tidak mahu fikir tentang kecederaan tetapi hanya tumpu kepada permainan," katanya.

Walaupun mengalami kecederaan itu, Karen tetap terus beraksi tetapi gagal membantu skuad negara melangkah jauh apabila sekadar melepasi peringkat kumpulan dalam Kejohanan Siri Jemputan Antarabangsa di Pulau Pinang, minggu lalu.

"Lawan memang berada pada taraf tinggi. Kami menentang wakil Taiwan sehingga set kelima tetapi tewas 3-2."