Atlet ping pong negara, Ho Ying, tetap optimis dengan peluangnya untuk merangkul sekurang-kurangnya satu pingat gangsa meskipun hanya diberikan peluang beraksi dalam satu acara dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Ho Ying dan rakan sepasukannya, Karen Lyne, akhirnya diberikan peluang untuk membarisi skuad negara oleh Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) setelah mencapai kata putus ekoran kemelut dihadapi sebelum ini yang menyebabkan nama mereka digugurkan.

Bagaimanapun, TTAM membenarkan mereka beraksi dalam satu acara sahaja, iaitu beregu wanita.

Ho Ying bukanlah asing dalam acara ini apabila pernah menghadiahkan pingat gangsa bersama Karen ketika beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu selain turut pernah menyumbang warna pingat sama dalam Sukan SEA Singapura 2015 bersama Lee Rou You.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah memberikan tumpuan kepada acara beregu, namun menghadapi kesukaran kerana rakan sepasukan, Karen, sedang menduduki peperiksaan," kata Ho Ying.

Cabaran untuk Karen yang bakal membuat penampilan pertamanya dalam Sukan SEA ialah terpaksa membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum berlepas ke Filipina, 4 Disember depan.

Tiada sasaran tinggi diletakkan oleh TTAM dengan sasaran realistik mereka adalah satu pingat gangsa sahaja, berbanding kutipan di Kuala Lumpur 2017, iaitu meraih dua gangsa

"Buat masa ini, saya perlu mengambil kelas tambahan dan saya memberikan tumpuan kepada latihan beregu bagi menghadapi Sukan SEA," katanya.