Hasrat beratus-ratus rakyat Filipina untuk menyaksikan nyalaan obor sempena upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Filipina di Kompleks Sukan New Clark City malam ini tidak kesampaian apabila mereka dihalang daripada memasuki perkarangan kompleks berkenaan.

Lebih mengejutkan, petugas media yang membuat liputan Sukan SEA Ke-30 itu di kluster Clark dan Subic turut dihalang anggota keselamatan bertugas apabila menjelaskan bahawa mereka mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berbuat demikian.

Difahamkan, sebahagian besar petugas media tempatan dan orang ramai dikatakan telah menunggu sejak pukul 4 petang tadi bagi memasuki Kompleks Sukan New Clark City, namun dihalang anggota keselamatan yang bertugas di pintu masuk.

Seorang anggota keselamatan yang enggan namanya didedahkan berkata arahan untuk menghalang orang ramai dan petugas media yang hadir menyaksikan nyalaan obor itu adalah keputusan pihak atasan.

“Saya tidak tahu tetapi kami terima arahan daripada pihak atasan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak untuk datang ke kompleks sukan ini bagi upacara penyalaan obor,” katanya.

Upacara nyalaan obor Sukan SEA 2019 di Stadium Olahraga New Clark City itu, yang terletak di dalam kawasan kompleks sukan berkenaan, turut menempatkan Pusat Akuatik dan Perkampungan Sukan Clark.

Upacara nyalaan obor berkenaan diadakan bersempena dengan upacara pembukaan rasmi Sukan SEA di Philippine Arena, Manila, yang dirasmikan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

-- BERNAMA