Ketua jurulatih skuad petanque negara, Zaini Lisa Mohamad, menamatkan tugas terakhirnya dengan rasa bangga apabila Malaysia meraih satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus mengatasi sasaran awal Sukan SEA sebelum berhijrah ke Indonesia.

Zaini kini boleh tersenyum dengan pencapaian dalam tugasan terakhirnya di Filipina.

Sasaran awal satu emas berjaya dicapai menerusi tiga sepasukan lelaki sebelum Malaysia menamatkan cabaran dengan gangsa berpasangan lelaki dan wanita.

Justeru, dia kini boleh meninggalkan kem kebangsaan dengan senyuman lebar selepas menerima tawaran sebagai jurulatih skuad Wilayah Jawa Timur, Indonesia.

"Saya mengharapkan lebih daripada apa yang kami raih ketika ini. Memang sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) dapat kami capai dengan satu emas dan menamatkan semua acara dengan pingat tetapi secara peribadi, untuk tugasan terakhir, saya mengharapkan lebih daripada satu emas," katanya.

Dalam aksi separuh akhir berpasangan lelaki, gandingan Mohamad Nuzul Azwan, Ahmad Termizi-Mohd Firdaus Adli Mohd Bakri cuba bangkit daripada ketinggalan tetapi tidak kesampaian apabila tewas di tangan Thailand 8-13.

Skrip sama turut dialami skuad berpasangan wanita setelah tunduk 4-13 di tangan juara dunia, Thailand.

"Saya menantikan emas sejak 2003 sehingga 2009 sebelum berhenti selama 10 tahun dan kembali pada tahun ini dengan harapan tinggi. Saya sudah berjanji dengan isteri -- yang meraikan hari ulang tahun kelahirannya semalam -- untuk membawa pulang emas tetapi tidak kesampaian," kata Mohd Firdaus.

"Untuk aksi separuh akhir, pada awalnya kami mencari momentum tetapi ada kesilapan ketika kedudukan 12-2. Jurulatih memberikan semangat dan kami merangkak sedikit demi sedikit. Namun, hasrat kami tidak kesampaian," tambah Mohamad Nuzul.