Petanque: Skuad negara sedia ambil risiko

Oleh Staff Writer 1 Disember 2019 223
Petanque: Skuad negara sedia ambil risiko
Skuad petanque negara sedia mengambil risiko dengan membuat perubahan pada saat-saat akhir dalam usaha memastikan gandingan yang dibentuk mampu mencapai misi satu pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Jurulatihnya, Zani Lisa Mohamed, membuat percaturan yang menarik menjelang Sukan SEA kali ini dengan menggandingkan pemenang pingat emas edisi Kuala Lumpur 2017, Muhd Hafizuddin Mat Daud, dengan Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri Syed Ali dalam acara tiga sepasukan.

Biarpun hanya mempunyai tempoh dua bulan untuk membimbing pasukan, jurulatih berpengalaman itu yakin percaturannya akan membuahkan hasil dengan ketiga-tiga atlet tersebut dijangka akan menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.

Zani Lisa juga sudah membuat risikan terhadap seteru di rantau Asia Tenggara sepanjang berkelana di Indonesia sebelum ini.

"Pasukan Indonesia tidak kuat, tak perlu takut.

"Jurang mereka terlalu jauh (dengan Malaysia).

"Cuma, saingan kami adalah Thailand dan Kemboja," katanya.

Dalam masa sama, jurulatih itu kekal optimis skuad negara mampu menghadirkan lebih banyak pingat emas daripada sasaran yang ditetapkan, namun bergantung kepada senario pada hari pertandingan.

"Ia di atas semangat untuk negara.

"Jika tidak, saya mungkin tidak ada di sini.

"Tetapi saya yakin kami akan meraih pingat dalam setiap acara dan sasaran satu emas itu akan dicapai," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen