Skuad petanque lelaki negara memulakan kempen Sukan SEA Ke-30 di Filipina dengan langkah kanan setelah memenangi pingat emas pertama dalam acara triples lelaki hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menamatkan dominasi Thailand yang meraih emas dalam acara berkenaan dalam edisi 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur.

Dalam aksi di CDC Lot berhadapan Royce Hotel and Casino yang berlangsung hampir tiga jam itu, trio negara yang dibarisi Muhammad Hafizuddin Mat Daud, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin ketinggalan sementara dengan keputusan 4-9 kepada trio Thailand, iaitu Wanchaloem Srimueang, Piyabut Chamchoi dan Panu Roeksanit.

Trio negara itu, bagaimanapun, bangkit menyamakan kedudukan menjadi 11-11 sebelum Muhammad Hafizuddin muncul wira negara setelah menambah dua lagi mata untuk memastikan kilauan emas pertama daripada sukan petanque.

Kejayaan itu mengubati kekecewaan skuad trio wanita negara yang sebelum itu tewas dengan keputusan 3-14 kepada Kemboja dalam aksi final triples wanita.

Jurulatih petanque negara, Syed Ali Syed Akil, yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan, jelas gembira dengan kejayaan itu setelah kali terakhir Malaysia mencapai kejayaan pingat gangsa adalah dalam acara triples lelaki pada 2015 di Singapura.

Beliau berkata kunci kejayaan trio negara hari ini adalah hasil kerjasama padu antara pemain selain sifat tidak berputus asa walaupun ketinggalan 4-9 pada satu ketika.

"Saya terkejut dengan permainan cemerlang yang ditampilkan pemain dan saya percaya mereka mampu bangkit walaupun ketinggalan 4-9 kepada Thailand pada satu ketika.

"Saya turut berpesan kepada anak saya (Syed Akmal Fikri) supaya tidak putus asa dan saya yakin dia boleh melakukan yang terbaik dalam perlawanan hari ini," jelasnya.

Berkongsi pandangan sama adalah anaknya, Syed Akmal Fikri, yang jelas teruja memenangi pingat emas setelah gagal dalam percubaan kedua pada 2015.

"Sebelum bermulanya aksi final ini, saya tekad untuk membantu rakan sepasukan setelah gagal menyerlah di peringkat kumpulan dan juga separuh akhir.

"Semangat diberikan ayah saya sewaktu permainan sedang berlangsung, jelas menaikkan motivasi saya untuk mencapai kemenangan bersama rakan sepasukan," jelasnya yang membuat penampilan kali keempat dalam Sukan SEA selepas edisi 2013 di Myanmar.

Skuad lelaki dan wanita negara masing-masing bakal berentap dengan Thailand dalam aksi separuh akhir doubles lelaki dan wanita selepas melakar keputusan positif dalam pusingan kelayakan hari ini.

-- BERNAMA