Ketua jurulatih skuad silat negara, Nasri Nasir, mengingatkan anak buahnya agar tidak mudah termakan dengan permainan psikologi pasukan tuan rumah, Filipina, yang mungkin berkelebihan daripada aspek penjurian menjelang upacara pembukaan Sukan SEA Filipina malam esok

Ingatan itu disuarakannya dengan mengimbau apa yang terjadi kepada juara dunia, Mohd Al Jufferi Jamari, yang menarik diri dalam Sukan Asia di Indonesia tahun lalu kerana tidak berpuas hati dengan penjurian wasit.

Meskipun acara Al Jufferi tidak dipertandingkan dalam temasya kali ini, perkara sama boleh berulang memandangkan silat merupakan sukan subjektif.

Dengan itu, Nasri mengingatkan anak buahnya agar menguatkan mental ketika beraksi di gelanggang.

"Tidak perlu kita memikirkan tentang juri dan sebagainya atau apa jua yang berlaku sebelum ini.

"Saya rasa kami lebih fokus untuk bertanding," katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila hari ini.

Sebanyak sembilan pingat emas ditawarkan dalam acara silat.

Malaysia meletakkan sasaran realistik untuk meraih dua pingat emas daripada acara itu.

"Saya berharap undian kali ini akan memberikan kelebihan buat pasukan.

"Daripada segi teknikal, kami sudah dapat memahami situasi yang akan berlaku," katanya.