Persembahan bunga api di depan 20,000 penonton di Stadium Olahraga New Clark City melengkapkan Upacara Penutup Sukan SEA Filipina selepas 11 hari kejohanan, malam ini.

Majlis penutup dimulakan dengan lagu kebangsaan tuan rumah, Lupang Hinirang, yang diketuai oleh kumpulan rock Journey dari Filipina, Arnel Pineda, sebelum diikuti persembahan muzik menerusi dron selama 45 minit.

Kontinjen diberikan tepukan gemuruh sewaktu berarak masuk ke stadium mengikut urutan, bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam sebelum diakhiri oleh tuan rumah, Filipina.

Diketuai oleh atlet wushu, Loh Jack Chang, selaku pembawa bendera, kontinjen Malaysia turut disertai Timbalan Chef-De-Mission (CDM), Nurul Huda Abdullah.

Majlis diteruskan dengan konsert mini oleh Pineda serta kumpulan KO Jones sebagai penghargaan kepada sukarelawan serta semua tenaga yang bekerja keras sejak 1 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Alan Peter Cayetano, dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Abraham Tolentino, kemudian menyampaikan empat anugerah istimewa, iaitu Atlet Lelaki Terbaik, Atlet Wanita Terbaik, Pasukan Terbaik serta Pemenang Emas Fair Play.

Setiausaha Eksekutif Pejabat Presiden Filipina, Salvador C. Medialdea, kemudian mengumumkan penutupan Sukan SEA Ke-30 secara rasmi sebelum bendera Sukan SEA diturunkan dan api kawah dipadamkan, menandakan berakhirnya kejohanan.

Cayetano dan Tolentino kemudian menyerahkan bendera Sukan SEA kepada Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, Nguyen Ngoc Thien, Presiden Jawatankuasa Olimpik Vietnam, Prof Nguyen Danh Thai, serta Timbalan Datuk Bandar Hanoi, Nguyen Van Suu, sebelum bendera Vietnam dinaikkan.

Ia diikuti dengan persembahan kebudayaan daripada wakil Vietnam.

Tarikan utama majlis penutup itu adalah persembahan penuh bertenaga daripada kumpulan pop Amerika Syarikat yang kembali membuat kemunculan, Black Eyed Peas, yang membuatkan semua penonton bersorak sebelum ditamatkan dengan upacara bunga api.

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai menamatkan kempen dengan 56 pingat emas, 58 perak dan 72 gangsa sekali gus jauh daripada sasaran 70-51-105.

Tuan rumah, Filipina, muncul juara keseluruhan buat kali kedua selepas kejayaan pada 2005 selepas mengutip 149 emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti oleh Vietnam (98-85-105) dan Thailand (92-103-123).

Lebih 8,000 atlet dari 10 negara Asia Tenggara dan Timor Leste mengambil bahagian dalam 530 acara daripada 56 jenis sukan di tiga bandar, Manila, Clark dan Subic.

‘Paalam Philippines, Chao Mung Vietnam!

-- BERNAMA