Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, berkata perlu ada laporan yang disertakan dengan bukti untuk mendakwa pasukan lelaki Timor Leste, yang dikatakan menggunakan pemain lebih umur melebihi dua orang dalam Sukan SEA Filipina.

AFC buat ketika ini hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai isu itu.

Timor Leste membuka kempen dalam temasya itu dengan berdepan Kemboja kelmarin dan kelibat beberapa pemain mereka menimbulkan keraguan kerana kelihatan sudah melebihi umur 22 tahun.

"Protes itu akan diselidik mengikut prosedur kami.

"Kalau terdapat kesalahan, ia akan dibawa kepada jawatankuasa disiplin.

"Jawatankuasa disiplin akan mengambil tindakan mengikut kod yang telah ditetapkan.

"Tetapi kami tidak menerima sebarang laporan atau protes daripada mana-mana pasukan," katanya.

Windsor tidak menolak tindakan keras akan diambil sekiranya perkara itu benar-benar berlaku dan terdapat aduan yang dikemukakan negara-negara lain yang bertanding.

"Ia (hukuman) bukan hanya melibatkan pemain sahaja, ia juga akan melibatkan pegawai yang telah membenarkan perkara itu," tambahnya.