Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mengesahkan tiga atlet, termasuk seorang prospek penyumbang pingat emas, terpaksa digugurkan pada saat-saat akhir ekoran kecederaan.

Eric Low Zi Yun antara yang terpaksa digugurkan daripada temasya ke-30 itu hujung bulan ini.

Dia mengalami keretakan tulang rusuk ketika berlatih di Melbourne, Australia, Ahad lalu dan dinasihatkan supaya berehat selama empat minggu.

Ia tamparan hebat selepas Eric meraih pingat gangsa dalam acara single Kejohanan Mendayung Regatta Antarabangsa Sydney, Mac lalu.

"Kami perlu terima keputusan ujian perubatannya, ia melibatkan kesihatannya.

"Atas faktor itu, dia ditukarkan dan proses itu berjalan dengan baik," kata Megat Zulkarnain dalam Perhimpunan Akhir Kontinjen Sukan SEA di Bangi, hari ini.

Dua lagi atlet yang digugurkan ialah perenang, Tern Jian Han, dan atlet luncur ais, Choo Kai Siang.

"Seramai lebih kurang 150 atlet Malaysia yang terdiri daripada silat, muay, boling tenpin, larian berhalangan dan petanque akan terlibat dalam upacara pembukaan Sukan SEA pada 30 November ini," tambahnya.

Perhimpunan akhir itu akan berakhir esok sambil pengumuman sasaran pingat rasmi akan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Boling tenpin antara lima jenis sukan yang akan menyertai upacara pembukaan pada 30 November ini, sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa jaguh utama negara, Mohd Rafiq Ismail atau Shalin Zulkifli, akan bertindak sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia.