Malaysia akan mengambil langkah proaktif susulan saranan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) bagi memastikan setiap anggota kontinjen negara diberikan vaksin polio sebelum ke temasya sukan dwitahunan itu hujung bulan ini.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata kontinjen negara yang terdiri daripada 1,114 orang, termasuk atlet dan pegawai, akan diberikan vaksin berkenaan.

"Semua (atlet) akan ambil vaksin, terutama vaksin polio, kerana kami telah dinasihatkan oleh PHISGOC yang meminta kesemua atlet agar diberikan vaksin polio. Kami putuskan untuk beri vaksin polio pada minggu lepas selepas menerima surat daripada penganjur.

"Surat daripada PHISGOC itu menyatakan mengenai kemungkinan terdapat penyakit polio di sana. Nak kata wabak itu sedang menular, tidak. Cuma ia sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam sidang media penajaan Bata Malaysia kepada kontinjen negara dalam Sukan SEA 2019 di Wisma OCM, hari ini.

Abdul Azim berkata pengambilan suntikan vaksin itu dijangka diadakan esok, iaitu ketika Perhimpunan Akhir Sukan SEA 2019.

Sebelum ini, kontinjen negara hanya diwajibkan untuk mengambil suntikan vaksin bagi mencegah wabak demam campak.

Dalam perkembangan lain, kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 mendapat suntikan semangat apabila Bata meneruskan sokongan sebagai kasut rasmi kontinjen negara dengan tajaan melibatkan 1,200 pasang yang bernilai kira-kira RM150,000.

Kontinjen negara akan menerima kasut sukan berwarna oren dan kuning bagi dipadankan dengan jersi belang harimau yang akan dipakai ketika menerima pingat dalam temasya sukan berkenaan.

Kasut rekaan eksklusif dan tidak dijual kepada umum itu juga akan digunakan dalam majlis perasmian dan penutup temasya edisi ke-30 itu.

Untuk rekod, Malaysia akan diwakili 774 atlet dalam 52 daripada 56 sukan yang dipertandingkan.

-- BERNAMA