Olahraga antara empat sukan yang menggalas tugas sebagai lubuk pingat emas bagi kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina bermula sembilan hari lagi bagi membantu meraih sasaran keseluruhan 70 pingat emas.

Selain itu, gimrama, memanah dan boling padang turut diletakkan sandaran tinggi berdasarkan prestasi dalam temasya dua tahun lalu dan terkini.

Empat sukan itu dijangka mampu menyumbang 20 pingat emas, iaitu 29 peratus daripada 70 pingat emas yang disasarkan Majlis Sukan Negara (MSN) seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada hari terakhir program Perhimpunan Akhir Kontinjen Sukan SEA Negara di Bangi sebentar tadi.

Sememangnya, keempat-empat sukan berkenaan mampu menggalas tugas yang sudah diberikan untuk mencapai kedudukan tangga keempat keseluruhan sekalipun dalam temasya di tempat sendiri yang lalu, Malaysia menamatkan cabaran selaku juara keseluruhan.

Beberapa jenis sukan lain seperti wusyu, skuasy dijangka mampu menambah jumlah pungutan pingat negara.

"Skuad olahraga menetapkan Jackie Wong (baling tukul besi), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Hakimi Ismail (lompat kijang), Rayzam Shah Wan Sofian (lari 110m berpagar) dan saya sendiri untuk memenangi emas.

"Mungkin juga ada kejutan emas seperti dalam acara 5,000m," kata jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei.

Selepas memenangi lapan emas di Kuala Lumpur, skuad boling padang berkeyakinan untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan biarpun berdepan cabaran pertukaran venue pada saat-saat akhir.

"Daripada enam acara, Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan lima emas dan ia bukan sesuatu yang mustahil kerana skuad boling padang sudah bersedia untuk membawa pulang emas tersebut," kata atlet lelaki, Fairul Izwan Abd Muin.