"Laluan perlumbaan berkaca,"demikian luahan jurulatih negara, Vivien Chen, sebagai mengesahkan penarikan diri pasukannya daripada acara campuran berganti-ganti ekoran kecederaan menimpa atletnya hari ini.

Pentatlon moden yang merupakan acara Sukan Olimpik dipertandingkan buat kali pertama dalam Sukan SEA Ke-30.

Malaysia tidak terkecuali mengambil bahagian dalam perlumbaan yang dimulakan dengan larian di pantai sejauh 800 meter, diikuti menembak 10m dan kembali untuk larian empat pusingan.

Namun, Malaysia terpaksa menarik diri dalam acara campuran berganti-ganti susulan atlet negara yang bersaing dalam acara individu mengalami kecederaan.

Ia disebabkan keadaan lapangan perlumbaan tatkala atlet negara, Lee Kah May, Lee Huee Li, Tevis Ong Seng Chuan dan Soh Sin Siang menduduki tempat tercorot dalam perlumbaan masing-masing.

"Kami mengambil keputusan untuk berlari tanpa menyarung kasut pada hari pertama tetapi kaca masih lagi terdapat di laluan saingan dan keadaan semakin menjadi huru-hara. Kedua-dua atlet kami mengalami kecederaan di bahagian lutut dan buku lali kerana laluan pertandingan," kata Vivien.