Skuad pelayaran negara ditimpa malapetaka di bumi Filipina apabila gagal membutirkan emas dalam tujuh acara utama, sekali gus gagal mencapai sasaran Sukan SEA Ke-30.

Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) meletakkan sasaran empat pingat emas di Filipina selepas cemerlang dengan enam pingat emas dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

Sandaran diletakkan kepada beberapa pelayar yang diketuai Khairulnizam Afendy, dengan temasya kali ini, bagaimanapun, menjadi mimpi buruk buat skuad pelayaran negara.

Ia menyaksikan tiada kilauan emas dapat dijelmakan daripada tujuh acara yang selesai hari ini, sebaliknya Malaysia sekadar meraih satu perak dan lima gangsa.

Malah, Khairulnizam dan Nur Syazrin Mohamad Latif selaku atlet bertaraf Sukan Olimpik juga terpaksa pulang dengan gangsa dalam acara masing-masing.

"Kami telah membuat persiapan terbaik, namun gagal menjelmakan kejayaan di Manila. Saya bertanggungjawab di atas kegagalan ini," kata Khairulnizam.

"Keadaan angin serta corak perlumbaan yang berbeza setiap hari, kekalahan ini merupakan pengajaran bagi saya," kata Syazrin.