Keghairahan Singapura dan Thailand memburu baki slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi kebimbangan buat skuad pelayaran negara yang menyasarkan kejayaan cemerlang dalam Sukan SEA Filipina 2019, bulan depan.

Ketua jurulatih pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah, berkata dua negara jiran itu mendapat suntikan dana secukupnya dalam menjayakan program latihan berskala besar yang bertujuan melayakkan atlet mereka ke Sukan Olimpik.

Menurut Afendy, perkembangan itu sekali gus akan meningkatkan prestasi atlet kedua-dua negara tersebut yang merupakan pencabar skuad negara menjelang temasya dwi-tahunan yang memasuki edisi ke-30.

"Memang dari segi persiapan mereka agak hebat terutama Singapura yang melabur besar dalam sukan ini dan Thailand pula banyak program latihan mereka diperhebatkan sehingga atlet mereka dihantar berlatih di Eropah.

"Misi layak ke Olimpik dua negara tersebut akan beri sedikit impak kepada cabaran yang bakal dihadapi pasukan negara kerana program mereka kini akan memanfaatkan prestasi mereka di Sukan SEA,” katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) menyasarkan membawa pulang empat pingat emas daripada 12 acara dipertandingkan dan Afendy optimis sasaran itu mampu dicapai selain turut mengintai peluang mengekalkan status juara keseluruhan seperti diraih pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Sebagai usaha merealisasikan sasaran itu, skuad pelayaran negara akan 'berkampung' di Subic, Filipina, selama tiga minggu bermula Jumaat ini untuk menjalani latihan fasa akhir di lokasi yang akan menjadi medan pemburuan pingat emas dalam temasya itu.

Sementara itu, pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, yang merupakan pemenang pingat perak acara laser standard Sukan Asia 2018, mengakui kejayaan di Filipina akan mempengaruhi motivasinya dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.

"Sukan SEA dan Sukan Olimpik dua kejohanan berbeza tetapi sudah pasti saya mengharapkan kejayaan di Filipina kerana ia amat penting untuk merangsang semangat saya dalam menghadapi temasya Sukan Olimpik," katanya yang bakal membuat penampilan kelima dalam temasya Sukan SEA.

Khairulnizam bersama pelayar wanita negara Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial) antara atlet negara terawal mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas melakar kejayaan dalam Sukan Asia.

Ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Malaysia muncul juara keseluruhan dengan enam emas, empat perak dan empat gangsa sementara Thailand dan Singapura yang mengumpul masing-masing empat emas di kedudukan kedua dan ketiga.

-- BERNAMA