Jurulatih skuad pelayaran negara, Afendy Abdullah, mengakui perubahan angin Taufan Kammuri menjejaskan persembahan atletnya sehingga menyebabkan skuad pelayaran negara ditimpa malapetaka dalam Sukan SEA Filipina di Teluk Subic semalam.

Pelayar negara, yang diketuai Khairulnizam Afendy, gagal menyerlah dalam tujuh acara.

Ia menyaksikan tiada seorang pun wakil negara meraih pingat emas.

Mereka hanya mampu memenangi satu perak dan lima gangsa.

Afendy berkata Taufan Kammuri yang melanda Filipina telah menyebabkan perubahan angin yang di luar jangkaan mereka.

Cuma, apa yang tidak dikatakan oleh Afendy ialah pemenang emas dalam acara-acara berkenaan turut berdepan keadaan dan persekitaran yang sama.

Lantaran itu, ia dilihat sebagai alasan semata-mata.

"Dalam sukan pelayaran, kita bukan sahaja bergantung sepenuhnya kepada prestasi dan kelengkapan. Suasana venue turut memainkan peranan," katanya.

Ia bermakna skuad negara gagal melunaskan sasaran empat pingat emas yang ditetapkan oleh Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA).

"Keadaan ini sentiasa akan berlaku dalam sukan.

"Terdapat pasang surut prestasi dan ia mungkin saat kami berada di bawah," tambahnya.