Pelayaran: Khairulnizam tidak mahu fikir soal cuaca

Oleh Staff Writer 30 November 2019 32
Pelayaran: Khairulnizam tidak mahu fikir soal cuaca
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy, menganggap ancaman Taufan Kammuri yang dijangka melanda Teluk Subic tidak mengganggu fokusnya selaku sandaran pingat emas dalam temasya Sukan SEA Filipina.

Skuad pelayaran negara kini berwaspada dengan sebarang kemungkinan, termasuk perubahan jadual pertandingan susulan amaran Taufan Kammuri yang dilaporkan akan melanda negara itu di Teluk Subic dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Khairulnizam mengakui sudah bersedia dengan situasi itu, termasuk keadaan angin yang tidak menentu ketika saingan nanti.

"Barisan jurulatih akan sentiasa memantau perkara ini, jadi tiada masalah kerana kami juga pernah mengalami situasi sama di Jepun, di mana melibatkan ribut lebih besar," katanya.

Pemenang perak Sukan Asia 2018 dalam acara laser standard itu juga mempunyai misi peribadi yang mahu dilunaskan dalam Sukan SEA kali ini selepas sekadar berpuas hati dengan gangsa di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

"Kami hanya akan menikmati perlumbaan dan menghadapinya satu persatu. Insya-Allah, jika segalanya dalam keadaan baik, keputusan positif akan diraih."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen